Konsep Tuhan Hinduisme

Sejak awal lagi, Hinduisme telah mengalami banyak evolusi berterusan. Pada zaman awal tamadun mereka, orang Hindu dipercayai telah menyembah bumi, air, api, langit, angkasa, angin, matahari, kilat dan alam sekitar sebagai tuhan. Ayat-ayat suci Veda selain menyembah elemen-elemen alam sebagai tuhan, setiap tuhan ini juga dirujuk sebagai Tuhan Yang Agung, Tuhan Pencipta Alam. Menurut ahli Indologi Jerman Max Muller, nenek-moyang awal orang Hindu bukan beragama politistik, tetapi henotistik.

Secara beransur-ansur, masyarakat Indo-Aryan menemui asas yang sama disebalik pelbagai tuhan-tuhan ini.[11] Nasadiya Sutra, atau "Ayat-ayat Suci Ciptaan" dalam Rig Veda memberikan gambaran yang cantik mengenai suatu unsur yang purba dan amat abstrak dengan kata nama ITU, dari mana dunia wujud. Unsur ini ialah Kesedaran Tulen atau Roh. Dalam bahasa Sanskrit Veda, Itu dipanggil sebagai Brahman.

Ayat suci Rig Veda yang berbunyi "Ekam Sad vipra bahudha vadanti"[12] - yang bermaksud "Hanya ada satu kebenaran tetapi para orang bijaksana menyebut-Nya dengan banyak nama," bukan sahaja menekankan konsep Tuhan Yang Maha Esa, tetapi ayat suci ini juga menjadi asas kepada sifat terbuka dan toleransi umat Hindu.

Nirguna Brahman

Siapakah yang wujud sebelum ciptaan? Jawapan yang bernas ialah hanya Tuhan yang wujud ketika itu. Sebelum ciptaan, apakah rupa Tuhan? Hinduisme menjawab bahawa Tuhan berada dalam keadaan transendental sebelum ciptaan. Perkataan "transendental" bermaksud kewujudan Tuhan berada di luar masa, ruang dan sebab-penyebab dunia kita. Menurut agama Hindu apabila Tuhan mencipta alam ini, Dia juga mencipta masa dan ruang bersama-samanya. Maka, kewujudan Tuhan sebelum ciptaan mestilah menjangkaui masa dan ruang.[13]

Bagi menjelaskan idea ini, kita boleh menggunakan analogi ini. Katakan seseorang sedang tidur dan dia bermimpi. Dalam dunia mimpinya, dia berada dalam masa dan ruang mimpi. Kedua-duanya telah dihasilkan oleh mindanya ketika dia bermimpi. Ketika itu, dia tidak berada dalam dunia nyata. Dalam dunia mimpi, dia telah menjangkaui masa dan ruang dunia nyatanya. Begitu juga, Tuhan sebelum ciptaan menjangkaui masa dan ruang dunia yang diciptanya.[14]

Menurut agama Hindu, Tuhan yang berada dalam keadaaan transendental dipanggil sebagai Nirguna Brahman, Roh Agung, Tuhan Tanpa Peribadi dan Tanpa Sifat. Nirguna Brahman tidak mempunyai peribadi atau personaliti. Keperibadian mempunyai batasan. Tanpa suatu personaliti, Nirguna Brahman juga tidak mempunyai jantina. Maka, dalam bahasa Sanskrit, Nirguna Brahman dirujuk sebagai 'TAT', bermaksud ITU. Ini menunjukkan bahawa Nirguna Brahman bukan lelaki mahupun perempuan.[15]

Oleh kerana Nirguna Brahman menjangkaui ruang, ianya adalah Infinit. Menjangkaui masa, ianya adalah Abadi. Tanpa dipengaruhi oleh sebab-penyebab, Nirguna Brahman adalah Tetap dan Tidak Berubah. Sifat atau kualiti adalah satu faktor yang mewujudkan perbezaan. Contohnya, kuasa pembakaran adalah sifat api. Sifat ini membezakan api dengan air yang tidak mempunyai sifat itu. Nirguna Brahman adalah Satu, Tidak Terbahagi dan Infinit. Maka, Nirguna Brahman tidak boleh mempunyai sebarang sifat yang menyebabkan perbezaan di dalam-Nya.[16]

Nirguna Brahman sering digambarkan dengan perkataaan 'Sat-Chit-Ananda' iaitu Kebenaran Mutlak, Kesedaran Mutlak dan Kebahagiaan Mutlak. Namun semua perkataan ini, tidak dapat menjelaskan Nirguna Brahman yang berada di luar dunia yang terhad. Nirguna Brahman tidak boleh dijelaskan. Menurut Sankaracharya, ayat-ayat Veda seperti 'Sat-Chit-Ananda' hanya merupakan petunjuk tentang sifat Nirguna Brahman. Ayat-ayat ini bukan penjelasan tentang Nirguna Brahman. Sri Ramakrishna, seorang mistik moden menjelaskan bahawa segala-galanya telah dicemari oleh lidah manusia kecuali Nirguna Brahman kerana tiada sesiapa pun yang dapat menerangkan apakah Itu.[17]

Ishvara

Kebanyakan orang tidak boleh berfikir tentang Nirguna Brahman. Manusia hanya dapat membayangkan sesuatu dengan ciri-ciri manusia. Contohnya, manusia berfikir bahawa Tuhan Maha Pengampun dan Maha Pengasih kerana ini adalah ciri-ciri yang mulia dalam seseorang manusia. Jadi, apabila manusia berfikir tentang Nirguna Brahman, secara tidak sengaja, dia memberikan ciri-ciri kemanusiaan kepada-Nya. Ini menjadikan Nirguna Brahman menjadi Saguna Brahman (Tuhan Peribadi). Pada hakikatnya, Nirguna Brahman tidak berubah.[18]

Misalnya, katakan seseorang melihat langit biru dengan memakai kaca mata merah atau hijau. Dengan kaca mata merah, langit kelihatan merah. Dengan kaca mata hijau, langit kelihatan hijau. Namun, sebenarnya langit tetap biru dan tidak berubah. Begitu juga, manusia melihat Nirguna Brahman dengan kaca matanya sendiri. Namun, sama seperti langit yang kekal sama, keperibadian tidak mengubah Nirguna Brahman.[19]

Saguna Brahman (Tuhan Peribadi) dalam agama Hindu dinamakan sebagai Ishvara. Manusia melihat Ishvara sebagai Pencipta Alam. Ishvara ialah Maha Berkuasa, Maha Mutlak dan Maha Merangkumi. Dengan kehendak-Nya, Dia mencipta dunia dengan menggunakan kuasa Maya-Nya. Meskipun Dia Tak Berupa, Dia mengambil pelbagai rupa dengan kesaktian Maya-Nya. Dengan Maya-Nya, Dia mencipta dunia dengan kebaikan dan kejahatan. Meskipun dunia wujud dalam-Nya, Dia menjangakui baik dan buruk. Seperti ular tidak diracuni oleh bisa dalam mulutnya, Tuhan tidak terjejas dengan baik dan buruk.

Ishvara mempunyai tiga aspek utama iaitu sebagai Pencipta, Pelindung dan Pemusnah. Maka, Ishvara dengan tiga aspek utama ini menerima nama Brahma (Pencipta), Vishnu (Pelindung) dan Shiva (Pemusnah). Ishvara tidak ada jantina. Namun, orang Hindu bebas memikirkan tentang Ishvara sebagai Ibu atau Bapa. Ini adalah satu lagi ciri unik agama Hindu. Setiap individu bebas memikirkan tentang Tuhan mengikut kehendak hatinya dan menjalinkan hubungan tertentu dengan Tuhan. Tuhan boleh menjadi Ibu, Bapa, Kawan, Kekasih atau Anak seseorang manusia. Menurut Sri Ramakrishna, apabila seseorang menjalinkan hubungan yang akrab dengan Tuhan, dengan mudah dan segera, dia akan mencapai kesedaran-Tuhan.

Menurut aliran Vishishtādvaita (satu aliran falsafah Vedānta), Ishvara mempunyai enam kualiti-kualiti agung: Jnana (Ilmu yang tidak terbatas), Bala (kekuatan yang tidak terhad), Aishwarya (penguasaan segala-galanya), Shakti (kuasa ciptaan), Virya (tenaga yang tidak terhad), dan Tejas (keserian).

Hiraṇyagarbha

Hiraṇyagarbha ialah dewa yangterulung. Dia ialah mahkluk pertama yang dicipta oleh Tuhan (Isvara). Keadaan benih ciptaan, sebelum ciptaan bermula, dibandingkan dengan sebiji telur emas ('hiraṇyagarbha'). Telur emas ini disimpan di dalam perut Hiraṇyagarbha. Kemudiannya, atas kehendak Ishvara, Hiraṇyagarbha mencipta dunia daripada benih ciptaan yang disimpannya.

Menurut Advaita Vedanta, Dia ialah aspek kedua Brahman yang dikaitan dengan ajñāna selepas Īśvara. Dia merangkumi semua jasad-jasad halus (sūkṣmaśarīra) dalam ciptaan seperti benang dalam kalungan manik-manik. Maka, Dia juga dinamakan sebagai Sūtrātman. Dia juga dikenali sebagai 'prāna'. Meskipun, Hiraṇyagarbha dicipta oleh Tuhan, dia juga mempunyai kesaktian sama sepertiTuhan. Dia ialah Akal Kosmik. Dengan kehendak Isvara, Hiraṇyagarbha menciptadunia. Hiraṇyagarbha merupakan penjelmaan pertama Isvara. Semua dewa-dewi wujuddalam Hiraṇyagarbha kerana Hiraṇyagarbha adalah infinit dan merangkumi seluruhdunia. Ini bermaksud bahawa dengan menyembah dewa-dewi, kita menyembahHiraṇyagarbha. Kadang-kadang, Purana menyamakan Hiraṇyagarbha dengan Isvara danmemanggilnya sebagai Brahma, Pencipta.

Hiraṇyagarbha mempunyai tiga kesaktian iaitu kehendak, ilmu dan tindakan, yang dinamakan icchā śakti, jñāna śakti, dan kriyā śakti.

Rupa-rupa Tuhan

Selain tiga aspek utama, iaitusebagai pencipta, pelindung dan pemusnah, Isvara mempunyai pelbagai aspek dankesaktian lain. Aspek-aspek ini juga menjelma sebagai pelbagai rupa Tuhan.Misalnya, apabila seorang Hindu memikirkan Isvara sebagai pemberi ilmu danpengetahuan, aspek Isvara itu menjelma sebagai Sarasvati. Begitu juga, Laksmiialah penjelmaan Isvara sebagai pemberi harta kekayaan. Menurut Swami Vivekananda: "Rupa-rupa tuhan ini bukanlah simbol semata-mata. Golongan Bhakta telah melihat rupa-rupa ini."

Semua rupa-rupa Tuhan ialahpenjelmaan pelbagai aspek-Nya dan bukannya bermaksud terdapat banyak tuhan-tuhan.Ini sesuatu yang sering disalahfahami mengenai agama Hindu. Malah, Sankaracharya sendiri memperkenalkan penyembahan Shakti, aspek feminin Tuhan di semua biaranya. Sri Ramakrishna pada mulanya menyembah Kali dan akhirnya menyedari Brahman. Menurut Sri Ramakrishna juga bhakti kepada Tuhan Peribadi akhirnya akan membawa ilmu tentang Brahman.[20]

Antara rupa-rupa Tuhan yang popular pada masa kini adalah: Shiva, Vishnu, Ganesha, Subrahmanya, Durga, Kali, Saraswati dan Lakshmi.

Avatara

(Artikel utama: Avatara)

Konsep 'Avatara' atau Jelmaan Tuhan merupakan salah satu kepercayaan penting dalam agama Hindu. Teori Avatara telah julung kali diperkenalkan dalam Bhagavad Gita. "Bila-bila kebaikan atau Dharma merosot dan kejahatan atau adharma bermaharajalela, Aku menjelma. Demi mengembalikan kebaikan, menghapuskan kejahatan, Aku menjelma dalam setiap zaman (Yuga)."[21] Itulah yang dijanjikan oleh Tuhan dalam Jelmaan-Nya sebagai Sri Krishna.

Tuhan memahami kelemahan manusia. Maka, demi berbuat baik kepada dunia, Tuhan menjelma di bumi. Vedanta mengakui bahawa walaupun Tuhan Maha Berkuasa dan Maha Mutlak, Dia menjelma sebagai dunia. Maka, tiada apa-apa yang pelik dalam doktrin Avatara bahawa Tuhan boleh mengambil sesuatu rupa yang unik dan pada masa yang sama, sedar akan Ketuhanan-Nya. Satu lagi keistimewaan doktrin ini ialah bahawa Tuhan menjelma atas kehendak sesuatu zaman dan tempat. Tidak ada sebarang sekatan tentang bilangan atau tempat Jelmaan wujud. Satu-satunya faktor penentuan ialah kemerosotan dharma (kebaikan) dan peningkatan adharma (kejahatan).

Antara Avatara yang popular adalah: Vamana, Parasurama, Sri Ramachandra, dan Sri Krishna.

Dewa-Dewi

Beberapa orang yang layak danbanyak melakukan kebaikan dan kebajikan di bumi juga dinaikkan pangat selepaskematian mereka. Mereka mendapat badan yang diperbuat daripada cahaya. Perkataan Sanskrit div bermaksud “untuk bersinar”. Oleh itu, mahkluk-mahkluk ini dikenalisebagai Dewa (lelaki) dan Dewi (perempuan).  

Kecuali Hiraṇyagarbha,dewa-dewi lain tidak bebas. Mereka telah mendapat kedudukansebagai dewa-dewi disebabkan pahala baik mereka di bumi. Sebaik sahaja, kesanpahala baik mereka habis, mereka terpaksa lahir semula sebagai manusia.

Menurut Hinduisme, terdapatdewa-dewi yang mengawal pelbagai benda-benda hidup dan bukan hidup di alamsemesta ini. Misalnya, Indra ialah dewa yang menguasai anggota tangan semuamahkluk. Virat ialah dewa yang menguasai semua badan fizikal dalam alam semestaini. Malah, seluruh alam semesta ini dianggap sebagai badan fizikal Virat.